Minggu, 26 September 2010

si tulang punggung juga perlu diperhatikan (2)

ya kita teruskan lagi yok tentang skoliosisnya... soalnya saya rame bacanya B) rame diresapi dinikmati dan sisesali.  oke lanjutin aja yok, sumber yang sama tapi beda (?)

-------------------------------

Pertumbuhan tulang tidak normal
Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
06 August 2006

TULANG belakang tonggak kepada bentuk tubuh yang memberi sokongan terhadap berat badan dan kepala. Ia bertanggungjawab melindungi korda spina iaitu ‘alat komunikasi’ dalam tubuh.

Tulang belakang membabitkan 26 tulang kecil yang mudah lentur tersusun dalam garisan lurus memanjang dari dasar tengkorak ke tulang kecil di belakang.
Namun dalam sesetengah keadaan, jajaran lurus ini tersasar ke sisi disebabkan ketidaknormalan vertebra, otot atau saraf. Akibatnya, tulang belakang terkeluar daripada garisan lurus dan membengkok ke satu sisi, sama ada kiri atau kanan. Keadaan ini dipanggil skoliosis.

Skoliosis boleh dianggap masalah pertumbuhan tulang tidak normal yang
biasa berlaku pada remaja, terutama perempuan. Skoliosis bermakna
tulang belakang seseorang pesakit menjadi bengkok ke kiri atau kanan
yang menyebabkan bahu tidak sama tinggi.

Gangguan pertumbuhan tulang belakang boleh berlaku disebabkan
jangkitan, kemalangan atau tanpa sebab tertentu. Skoliosis idiopatik
biasanya berlaku pada awal usia remaja dan sehingga kini punca
masalah tulang belakang ini masih menjadi misteri.

Walaupun kebanyakan kes membabitkan remaja, skolisosis boleh berlaku
pada kanak-kanak dan bayi. Di setiap negara dianggarkan kira-kira
tiga peratus penduduk mengalami skoliosis dan kebanyakannya perempuan
dengan nisbah tiga pesakit perempuan kepada seorang pesakit lelaki.

Mengapa ia lebih banyak menyerang remaja perempuan juga tidak
diketahui. Ada pakar perubatan berpendapat skoliosis penyakit
keturunan, tetapi tiada siapa tahu bagaimana ia boleh berlaku dan
faktor genetik hanya menyumbang kepada 10 peratus kepada risiko
penyakit ini. Bagaimanapun saudara terdekat, terutama adik beradik,
mempunyai risiko tinggi untuk mendapat penyakit sama.

Biasanya skoliosis muncul pada umur remaja, tetapi ia boleh berlaku
selepas seseorang pesakit meningkat dewasa. Kadangkala skoliosis pada
orang dewasa lebih teruk kerana penyakit ini sebenarnya bermula
secara perlahan-lahan ketika pesakit masih remaja dan tidak diberikan
rawatan.

Puncanya masih tidak diketahui dan ia boleh berlaku pada sesiapa
saja. Seseorang itu dikatakan mengalami skoliosis apabila tulang
belakangnya mula bengkok ke satu sisi, sama ada kiri atau kanan
melebihi 10 darjah. Daripada jumlah ini, 0.5 peratus pesakit
mengalami masalah tulang belakang bengkok melebihi 20 darjah, 0.2
peratus melebihi 30 darjah dan 0.1 peratus melebihi 40 darjah.

Ada yang berpendapat masalah ini menjadi lebih buruk apabila pesakit
menggalas beg berat. Namun kajian membuktikan dakwaan ini tidak benar
kerana punca sebenar skoliosis masih tidak diketahui.

Nisbah pesakit perempuan yang mengalami masalah tulang belakang
bengkok melebihi 30 darjah terhadap pesakit lelaki adalah 9:1. Ini
bermakna pesakit perempuan lebih ramai mengalami masalah skoliosis
teruk berbanding lelaki.

Menurut Perunding Pembedahan Ortopedik Tulang Belakang, Dr Siow Yew
Siong, skoliosis menyebabkan pesakit mengalami masalah bentuk badan
yang tidak seimbang antara bahagian kiri dan kanan.

Jenis skoliosis

Kata Dr Siow, skoliosis boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu
struktural dan bukan struktural.
Skoliosis bukan struktural boleh disebabkan oleh:

# Tabiat yang tidak baik seperti membawa beg berat pada sebelah bahu
  saja (menyebabkan sebelah bahu menjadi tinggi), postur badan yang
  tidak elok (seperti selalu membongkok atau badan tidak seimbang).
# Kaki tidak sama panjang.
# Kesakitan, contohnya disebabkan masalah siatika (sakit yang dirasai
di belakang dan sisi luar paha, betis dan kaki akibat kemerosotan
atau kerosakan cakera di antara tulang vertebra dan menekan saraf).

Skoliosis struktural

Jenis ini disebabkan pertumbuhan tulang belakang yang tidak normal.
Ia boleh dikesan apabila:

# Bahu atau pelvis seseorang pesakit tidak sama tinggi.
# Tulang rusuk pada sebelah badan tertonjol ke depan menjadi lebih
  tinggi, manakala sebelah lagi terperosok ke dalam.
# Badan mungkin ‘terpusing’ ke satu arah.
# Kedudukan punggung juga tidak selari dengan badan atas dan keadaan
  ini dipanggil peralihan batang tubuh (truncal shift).
# Badan kiri dan kanan menjadi tidak simetri.

Menurut Dr Siow, skoliosis tiada gejala awal. Kesannya hanya dapat
dilihat apabila tulang belakang mulai bengkok. Jika keadaan bertambah
buruk, skoliosis boleh menyebabkan tulang rusuk tertonjol keluar dan
pesakit mungkin mengalami masalah sakit belakang serta sukar
bernafas.

Kajian menunjukkan tulang belakang pesakit skoliosis menjadi
bertambah bengkok dengan pertambahan satu darjah setiap tahun.
Antara faktor yang boleh menyebabkan masalah skoliosis bertambah
buruk ialah:

# Proses pembesaran.
# Jantina — Masalah skoliosis biasanya lebih teruk di kalangan remaja
  perempuan berbanding lelaki.
# Umur — Lebih awal seseorang pesakit mendapat skoliosis,
  kebarangkalian untuk penyakit menjadi teruk lebih besar. Walaupun
  secara umumnya ia lebih banyak berlaku pada remaja, kanak-kanak juga
  boleh mengalami masalah ini pada umur empat hingga lapan tahun.
# Darjah lengkungan atau kebengkokan tulang belakang sama ada bentuk
  S atau C — Biasanya jika lebih besar tulang belakang bengkok, risiko
  untuk menjadi teruk.
# Lokasi — Lengkungan pada bahagian tengah atau bawah tulang belakang
  biasanya jarang bertambah teruk. Masalah skoliosis hanya bertambah
  buruk jika ia berlaku pada bahagian atas tulang belakang, menyebabkan
  badan belakang pesakit bertonjol keluar dan kelihatan bongkok.
# Masalah tulang belakang ketika dilahirkan — Skoliosis pada
  kanak-kanak yang dilahirkan dengan penyakit ini (dipanggil skoliosis
  kongenital) berisiko tinggi menjadi teruk dengan cepat.

Oleh kerana skoliosis tidak menyebabkan kesakitan, masalah ini jarang
diberi perhatian dan rawatan hingga postur badan berubah. Malah,
ramai pesakit dan ibu bapa tidak sedar kemunculan awal penyakit ini.
“Dalam kebanyakan kes, skoliosis hanya diberi perhatian apabila
pesakit mula menitik beratkan soal penampilan diri. Walaupun ia tidak
mendatangkan kesakitan, rata-rata pesakit berasa malu, rendah diri
dan ini menjejaskan keyakinan terhadap diri sendiri.

“Malangnya di negara kita tiada ujian dilakukan untuk mengenal
masalah ini pada kanak-kanak sekolah seperti dijalankan di Singapura
dan Hong Kong. Banyak kes di negara ini disedari tanpa sengaja oleh
ahli keluarga,” kata Dr Siow.

Beberapa ujian mudah boleh dilakukan untuk mengenali skoliosis, iaitu
Ujian Adam. Ia boleh dilakukan oleh ibu bapa di rumah. Pesakit perlu
berdiri (tanpa memakai kasut) dan membongkokkan badan ke depan
sehingga 90 darjah. Lihat kedudukan badannya. Jika badannya senget
atau tinggi sebelah, bermakna tulang belakang anak anda ada masalah.

Satu cara lagi ialah melihat keselarian antara badan atas dan bawah
dengan memegang benang yang digantung pemberat dan letakkannya di
tengah badan. Jika anak mengalami skoliosis, ia mudah dilihat kerana
bahagian badan bawah tersasar ke kiri atau kanan. Namun jika masih
tidak pasti, bawa anak ke hospital untuk menjalani pemeriksaan
fizikal atau ujian sinar-X untuk mengesahkannya.

Walaupun skoliosis tidak mendatangkan rasa sakit, ia perlu dirawat
seawal mungkin. Tanpa rawatan, tulang belakang menjadi semakin
bengkok dan menimbulkan pelbagai komplikasi seperti:

# Kerosakan paru-paru dan jantung. Ini boleh berlaku jika tulang
belakang membengkok melebihi 70 darjah. Tulang rusuk akan menekan
paru-paru dan jantung, menyebabkan pesakit sukar bernafas dan cepat
penat.

Malah, jantung juga akan mengalami kesukaran mengepam darah. Dalam
keadaan ini, pesakit lebih mudah terdedah kepada jangkitan paru-paru
dan pneumonia.

# Sakit tulang belakang. Semua pesakit, sama ada dewasa atau
kanak-kanak, berisiko tinggi mengalami masalah sakit belakang kronik.

Jika tidak dirawat, pesakit mungkin boleh menghidap masalah sakit
sendi. Tulang belakang juga mengalami lebih banyak masalah apabila
pesakit berumur 50 atau 60 tahun.

# Masalah imej. Biasanya pesakit berasa rendah diri, malu dan kurang
yakin untuk berdepan orang lain kerana badan mereka tidak seimbang,
tinggi atau senget sebelah.

# Kemurungan. Ini antara masalah psikologi yang paling dikhuatiri
pakar perubatan. Pesakit akan lebih mudah mengalami kemurungan dan
rasa sedih melampau.

Rawatan

Kata Dr Siow, tujuan utama rawatan adalah mengelak tulang belakang
terus membengkok. Sehingga kini tiada kaedah boleh digunakan untuk
menyembuhkan penyakit ini. Antara kaedah popular ialah menggunakan
‘bracing’ dan pembedahan.

Bagaimanapun, bukan semua masalah skoliosis memerlukan rawatan. Ia
tertakluk kepada keadaan pesakit. Namun rawatan awal sangat penting
untuk mengawal masalah tulang belakang daripada terus membengkok.

Dulu rawatan skoliosis menggunakan kaedah bracing, iaitu dengan
meletakkan alat khas pada belakang badan atau bawah ketiak.

Bagaimanapun, ia kurang popular kerana alat itu perlu dipakai
sepanjang hari dan malam, menyebabkan pesakit berasa tidak selesa.
Pesakit perlu menjalani ujian sinar-X terlebih dulu untuk diketahui
sama ada keadaan tulang belakang mereka menjadi semakin teruk.

Biasanya rawatan dimulakan dengan penggunaan bracing dan pembedahan
hanya dilakukan jika tulang belakang menjadi semakin melengkung.
Kajian di kalangan pesakit yang menggunakan ‘bracing’ menunjukkan
hampir 40 peratus tetap mengalami masalah tulang belakang semakin
bengkok, tetapi 70 peratus pesakit yang tidak menggunakan kaedah ini
keadaan tulang belakang mereka menjadi lebih teruk.

“Bracing tidak menyembuhkan skoliosis. Ia hanya mengawal keadaan
daripada bertambah buruk. Alat ini perlu dipakai selama beberapa
tahun dan keadaan pesakit dipantau setiap enam bulan bagi melihat
kesannya.

“Jika lengkungan tulang belakang antara 20 hingga 40 darjah, pesakit
perlu memakai bracing sehingga mereka dewasa selama 20 hingga 22 jam
sehari. Ini sebabnya kaedah ini tidak berapa digemari pesakit,” kata
Dr Siow.

Pembedahan antara kaedah rawatan terbaik untuk skoliosis, terutama
jika lengkungan tulang belakang melebihi 45 darjah dan kaedah bracing
tidak dapat membendung skoliosis. Pembedahan mampu menghentikan
kemaraan penyakit. Tulang terbabit akan dipasang implan dan
kemudiannya dicantumkan menjadi satu untuk menghentikan
pertumbuhannya.

Walaupun ada yang berpendapat kaedah ini berisiko tinggi (kerana
pembedahan dilakukan di kawasan saraf tunjang) tetapi kata Dr Siow,
semuanya diambil kira. Sehingga kini kes membabitkan komplikasi saraf
tunjang sangat kecil iaitu hanya 0.5 peratus berbanding komplikasi
jangkitan (tiga hingga lima peratus) dan pendarahan.

Pun begitu, pembedahan juga tidak dapat mengembalikan tulang belakang
kepada keadaan asal. Kebanyakan pembetulan tulang belakang melalui
penanaman implan dilakukan pada lengkungan untuk 60 darjah dan tulang
belakang ini mampu diluruskan sehingga 70 peratus saja.

Masalah paling besar ialah salah faham masyarakat mengenai penyakit.
Mendapatkan khidmat pakar kiropraktik, bomoh, mengamalkan senaman
tertentu atau menggunakan ubat tradisional tidak akan membantu
pesakit. Malah, masa yang terbuang akibat mendapatkan rawatan
tradisional akan menyebabkan penyakit bertambah buruk.

“Selepas pembedahan, pesakit dinasihatkan berehat dan menjalani
latihan fisioterapi. Biasanya pesakit boleh duduk dengan baik selepas
sehari menjalani pembedahan dan mula berjalan pada hari ketiga.
“Kepada pesakit, usah dengar cakap orang kerana itulah punca mereka
mendapat maklumat salah. Langkah sebaiknya ialah merujuk dan
mendapatkan nasihat pakar supaya penyakit ini boleh dirawat di
peringkat awal,” kata Dr Siow.

Tanda penyakit

Kecacatan akibat skoliosis berlaku dalam tiga dimensi. Antara tanda
penyakit ini ialah:

>Bahu tidak sama tinggi.
>Garis pinggang tidak sama tinggi.
>Badan belakang menjadi bongkok sebelah.
>Payu dara besar sebelah.
>Badan terpusing ke satu arah (bagi kes yang teruk).
>Sebelah pinggul lebih tinggi.



-nearti-